Monday, August 6, 2007

Ekonomi Dinar Emas : Pelan Induk Ummah

Pelan Induk Ummah berkenaan ekonomi dinar emas telah dirangka sebagai teras kesinambungan perantaraan ekonomi global. Satu persidangan antarabangsa anjuran Marslio International telah dilangsungkan pada 24 sehingga 25 Julai 2007 di PWTC.

Matlamat utama persidangan adalah untuk mempromosikan dinar emas sebagai penyelesaian praktikal ekonomi terutamanya krisis ekonomi semasa yang berpunca dari pengaruh penggunaan matawang fiat. Persidangan ini telah dihadiri oleh tokoh pemikir Islam seperti Umar Ibrahim Vadillo, Sheikh Imran Hoessin, Tarek Dimany dan perintis dinar emas di Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak ketinggalan menyampaikan ucaptama.

Dinar Emas yang terkenal dengan nilai intrinsik dan bersifat stabil terhadap aktiviti spekulasi dan manipulasi telah disyorkan supaya dikembalikan peranannya pada masa kini. Justeru beberapa pihak telah digesa supaya mengambil langkah sewajarnya bagi tujuan tersebut sebagaimana berikut.

Bank Negara Malaysia dicadangkan supaya meneliti penggunaan Dinar Emas sebagai penjelasan dagangan pelbagai hala di kalangan negara-negara peserta meliputi sistem penyelesaian kredit. Masyarakat pula perlu disediakan alternatif cara pembayaran sama ada dalam dinar atau ringgit sebagaimana pilihan konvensional dan perbankan Islam. Kaedah ini secara tidak langsung akan memberi kesempatan kepada masyarakat bagi menilai kelebihan dinar emas berbanding wang fiat.

Dewan Perniagaan pula digesa supaya mengalakkan pengunaan dinar emas di kalangan ahli seperti menyelesaikan pembayaran berkonsepkan sistem barter yang berteraskan dinar emas dengan kaedah yang terbaik. Pelaksanaannya tidak hanya terbatas dalam negara sahaja malahan boleh diperpanjangkan ke peringkat antarabangsa seperti Timur Tengah, Asia Barat, Negeri China dan rakan dagangan yang lain. Dengan ini rangkaian dewan perniagaan dunia dapat diwujudkan dan seterusnya akan membentuk jaringan dinar emas secara global.

Majlis Agama Islam Negeri seharusnya mengutama serta mengalakkan pembayaran mas kahwin dan zakat dalam bentuk dinar emas. Memandangkan dinar emas adalah urusan ekonomi Islam maka Majlis Agama Islam Negeri sewajarnya melopori usaha ini dengan mengadakan kempen berkenaan keistimewaannya serta menerangkan bahawa pendekatan ini menjamin keadilan dan kemakmuran untuk semua lapisan termasuk golongan bukan Islam.

Sistem bersepadu Al-Rahnu atau gadaian emas perlu diperluaskan pelaksanaannya dengan mendapat sokongan serta penyertaan semua pihak termasuk kerajaan, pengubal dasar, masyarakat peniaga dan ahli akademik dalam usaha mengangkat dinar emas sebagai satu jalan penyelesaian masalah sistem kewangan dunia sedia ada. Kewujudan sistem ini perlu dikaji dari pelbagai aspek bagi memperkukuhkan pegangan emas di kalangan masyarakat dalam negara. Peningkatan pegangan emas ini akan membantu negara apabila berdepan krisis ekonomi kelak.

Di peringkat antarabangsa satu badan kerjasama perlu ditubuhkan bagi mencari formula mempopularkan dinar emas sebagai alat perantaraan terbaik dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan, dana tabungan, pendidikan, ekonomi dan seumpamanya supaya mekanisma aplikasi dinar emas dapat dimanfaatkan lebih ramai lagi peserta. Badan antarabangsa ini boleh terdiri daripada pelbagai badan seperti politik, NGO atau lain-lain pertubuhan berdaftar dengan mengaplikasikan dinar emas sebagai alat perantaraan dalam urusan masing-masing seperti yuran tahunan dan seumpamanya.

Dengan terlaksana langkah di atas, diharap aplikasi dinar emas akan mendapat tempat pelbagai lapisan masyarakat dunia dan seterusnya menjadi perantaraan penting dalam urusan perniagaan global.

No comments: