Friday, January 26, 2007

Harga dinar emas akan mencecah RM350

Menurut sumber daripada www.business-standart.com harga emas mungkin berada pada harga $670 per auns mengikut harga emas dunia. Ia juga diakui oleh Ketua Eksekutif GFMS, Paul Walker ketika menghadiri seminar di Toronto. Ini bermakna harga dinar emas diramal pada harga RM350 dalam awal tahun ini.

Sekarang ini telah banyak tersiar di internet tentang pembelian emas-emas terpakai terutama di luar negara. Ia digunakan sebagai aset simpanan dan sebagai aset penjualan kelak.Walaupun emas itu telah digunakan namun nilainya masih tetap dan tidak berubah. Kini pencarian lombong emas masih diteruskan ia bertujuan untuk menambah lagi aset di bank dunia. Berkaitan dengan pencarian lombong emas, sebenarnya ternyata Amerika Syarikat menggunakan taktik isu politik sebagai tajuk utama peperangan tetapi sebenarnya ia bertujuan untuk mendapatkan sumber bumi mereka. Amerika Syarikat berbuat demikian sebenarnya bertujuan untuk memulihkan nilai mata wang mereka yang menjadi mata wang dunia sekarang ini. Tapi jika kita fikirkan sebenarnya mata wang mereka juga boleh di manipulasi tetapi tidak pada emas. Wang yang mereka gunakan masih berada dalam bentuk sehelai kertas. Jika difikirkan mengapa wang kita sahaja yang menjadi mata wang dunia? Bukankah wang kita juga sebenarnya sehelai kertas. Mata wang Amerika Syarikat sebenarnya semakin lemah, mereka masih berusaha untuk mengembalikan nilai wang mereka dengan menindas negara yang mempunyai banyak hasil dengan pengaruh yang mereka ada.

Disini penting untuk kita nyatakan bahawa emas sahaja yang tidak boleh di manipulasikan. Dinar emas yang diperkenalkan amat sesuai pada waktu peredaran masa kini. Penyimpanan dinar emas juga bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku sesuatu pada ekonomi negara.
Ditulis oleh : Irnie

Tuesday, January 16, 2007

Monday, January 8, 2007

Dinar Emas Semakin Menyerlah

Dewasa ini keistimewaan dinar emas semakin mendapat tempat dan sambutan hangat di kalangan masyarakat Pantai Timur Malaysia. Emas Dinar Kelantan telah dilancarkan secara rasmi oleh Kerajaan Negeri Kelantan pada 20 September 2006. Ia boleh diperolehi menerusi 10 rangkaian pajak gadai Islam Ar-Rahn edaran Permodalan Kelantan Berhad.

Secara umumnya, fungsi asas Emas Dinar Kelantan adalah sinonim dengan syiling Dinar Emas yang diedarkan oleh Singgahsana Emas Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Yayasan Melaka. Peranan yang dimaksudkan ialah sebagai mas kahwin, simpanan, perantaraan zakat, cenderahati mahupun lain-lain tujuan penghargaan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, emas memiliki nilai intrinsik yang stabil bagi mengekang aktiviti spekulasi dan manipulasi matawang. Pengunaannya dapat melindungi nilai wang serta ekonomi semasa sesebuah negara.

Perbandingan dari aspek timbangan serta denominasi turut tidak menunjukkan perbezaan yang begitu ketara. Timbangan dan denominasi Dinar Emas ialah 2.125 gram (setengah dinar), 4.250 gram (satu dinar) dan 8.500 gram (dua dinar) dengan kandungan emas 91.6%. Manakala Emas Dinar Kelantan pula terdiri daripada 1.06 gram (suku dinar), 2.12 gram (setengah dinar), 4.250 gram (satu dinar) dengan ketulenan emas 91.7%. Namun demikian, penentuan nilai denominasi bagi kedua-dua edaran masih sama iaitu tertakluk kepada harga emas pasaran semasa.

Thursday, January 4, 2007

Satu Dinar Perantaraan Mas Kahwin


Tanggal 28 Julai 2006 bersamaan 3 Rejab 1427 H merupakan detik bersejarah bagi kakitangan Yayasan Melaka, Noraini Binti Yaakop 24, dan pasangannya Faiza Rizal Bin Mocktar 30, yang telah selamat diijabkabulkan di kediaman pengantin perempuan di Km 8, Jalan Pengkalan Jajar, 75450 Alai, Melaka. Majlis perkahwinan yang dilangsungkan pada 29 Julai 2006 merupakan saat bermakna pasangan ini kerana diraikan sebagai Raja Sehari yang sekaligus bermulanya pelayaran sebuah alam rumahtangga.

Majlis Pernikahan kedua-dua mempelai ini sememangnya sesuatu yang unik dan menarik dalam majlis pernikahan yang julung kali diadaptasikan oleh pasangan mempelai di negeri Melaka. Keunikan yang dimaksudkan ialah apabila Faiza Rizal Bin Mocktar menyempurnakan mahar atau mas kahwinnya dengan sekeping syiling dinar emas seberat 4.25 gram (22 karat) yang diperbuat daripada emas 91.66% bernilai RM 300.99 (tertakluk harga pasaran semasa). Perantaraan dinar emas sebagai mas kahwin sememangnya sesuai kerana ukiran kalimah syahadah serta cetakan ayat suci Al-Quran secara simboliknya melambangkan ketinggian nilai kehidupan manusia yang berasaskan Islam. Manakala ilustrasi gambar masjid pula melambangkan seruan Islam menggalakkan umatnya melaksanakan perkahwinan demi kesinambungan zuriat bagi memakmurkan muka bumi ini selaras dengan sunnah Nabi Muhamad S.A.W.

Kelazimannya wang ringgit, senaskah Al-Quran, cincin, gelang tangan merupakan di antara pelbagai bentuk perantaraan pilihan berdasarkan kemampuan serta persetujuan kedua-dua pihak mempelai. Kini syiling dinar emas telah mula mendapat sambutan menggalakkan sebagai mahar atau mas kahwin yang terkini dalam sesuatu majlis pernikahan sejak akhir-akhir ini. Barangkali sudah tiba masanya masyarakat menerimapakai dinar emas sebagai mas kahwin memandangkan ia mempunyai nilai sentimental dan intrinsik yang kukuh. Bagi mereka yang mempunyai pertanyaan berkenaan dinar emas ini bolehlah datang sendiri ke Wakala Yayasan Melaka, G-09 Plaza Usahawan, 75300 Jalan Hang Tuah, Melaka atau hubungi 06-2846572/73 untuk maklumat lanjut.

Wednesday, January 3, 2007

Dinar Emas : Instrumen Baru Mas Kahwin & Zakat.

Mahar atau Mas kahwin merupakan satu pemberian wajib dari seorang lelaki kepada bakal isterinya sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh hukum syarak. Mas kahwin ini boleh dibayar dalam pelbagai kaedah dan apa jua bentuk mengikut kesesuaian dan peredaran zaman. Lazimnya mahar ini disempurnakan dengan wang ringgit, senaskah Al-Quran, cincin, gelang tangan dan pelbagai bentuk lagi mengikut kemampuan serta persetujuan kedua-dua pihak mempelai. Pada hari ini syiling dinar emas telah mula diperkenal serta diketengahkan sebagai alat perantaraan mahar atau mas kahwin yang terkini dalam sesuatu majlis pernikahan.

Pernahkah anda terfikir kesesuaian syiling emas 9.166% seberat 42.5-gram dan 22-karat ini sebagai item baru penunaian mas kahwin mahupun hantaran perkahwinan. Barangkali jika dilihat sekali imbas cadangan ini agak ganjil tetapi diyakini dinar emas akan mendapat tempat serta sambutan di kalangan masyarakat. Rasional penggunaan dinar emas sebagai mas atau hantaran perkahwinan adalah bersandarkan emas yang boleh diurusniagakan dalam pelaburan Qirad minimum 12 dinar yang mampu memberi pulangan setinggi 2% sebulan, 24% setahun serta boleh diperbaharui setiap 6 bulan dari semasa ke semasa. Pelaburan Qirad ini adalah sesuatu yang menarik kerana ia berdasarkan emas yang mana harganya adalah stabil dan secara komprehensifnya meningkat dari semasa ke semasa tanpa terikat dengan perkembangan isu-isu semasa global seperti kegiatan manipulasi serta spekulasi matawang antarabangsa.

Selain dari itu, pelaburan Qirad ini boleh diumpamakan sebagai jaminan perlindungan aset untuk masa depan terutamanya perbelanjaan pendidikan anak-anak kelak. Berbekalkan peningkatan harga semasa setiap dinar yang dimiliki dan penokokan pulangan setiap bulan mampu meningkatkan lagi perolehan keuntungan pelaburan. Kaedah ini seandainya diteruskan dapat membantu pembiayaan masa depan individu dalam menghadapi peristiwa di luar jangkaan atau mencapai apa jua hasrat yang dicita-citakan. Keadaan ini adalah sebaliknya dalam pelaburan konvensional yang lazimnya berbekalkan wang ringgit yang mudah dispekulasikan di samping pulangan pelaburan yang tidak setanding dengan pelaburan Qirad. Pelaburan ini boleh dibuat di Singgahsana Emas Sdn Bhd, G-09, Plaza Usahawan, Jalan Hang Tuah, 75300 Melaka atau untuk maklumat lanjut di talian 06-2846572/73 pada waktu pejabat.

Dinar Emas juga boleh diaplikasikan sebagai alat pembayaran bagi menunaikan kewajipan zakat. Islam menggalakkan umatnya menunaikan perintah zakat disempurnakan dalam bentuk emas memandangkan kestabilan nilai intrinsiknya yang sekaligus membantu golongan 7 asnaf dihimpit oleh pengucupan kuasabeli atau “purchasing power” pengguna. Cadangan ini boleh dilaksanakan menerusi mekanisme perlantikan rangkaian pasar mini yang boleh menerimapakai dinar emas sebagai alat pembayaran untuk 7 golongan ini mendapatkan bekalan keperluan asas bulanan mereka. Pusat Zakat Melaka (PZM) akan melantik rangkaian pasar mini dan golongan 7 asnaf akan diberi agihan zakat misalnya secara puratanya 2 dinar lebih kurang bernilai RM500 sebulan. Penerima zakat ini akan membeli barangan keperluan mengikut jumlah 2 dinar tadi. Kaedah ini difikirkan dan diyakini sedikit-sebanyak dapat membantu mereka dalam apa jua keadaan sama ada dalam situasi ekonomi yang cemerlang mahupun sebaliknya. Dengan lain perkataan, dinar emas mampu bertindak sebagai penyimpan nilai sekaligus membolehkan penerima zakat menikmati bantuan tersebut dengan kadar yang maksimum. Maka dengan ini diharapkan langkah ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang dalam kesempitan hidup daripada terus dihimpit oleh tekanan kuasabeli yang semakin menurun.

Di samping itu, penggunaan dinar emas boleh diperpanjangkan untuk pelbagai tujuan sampingan seperti hadiah atau cenderahati ulangtahun hari kelahiran atau perkahwinan sebagai tanda penghargaan dalam usaha mempertingkatkan nilai ketinggian kehidupan manusia. Secara keseluruhannya apabila dinar emas diaplikasikan secara meluas, keadaan ini akan membantu meningkatkan kadar pemilikan dinar emas sebagai aset di kalangan masyarakat. Barangkali penggunaan dinar emas ini boleh dipelbagaikan mengikut kreativiti berdasarkan motif serta kecenderungan masing-masing. Dalam skop yang lebih luas, negara akan mempunyai stok simpanan emas yang stabil yang dapat membantu Malaysia mempertahankan kewibawaannya jika krisis kewangan dan ekonomi global kembali melanda. Langkah ini adalah tindakan susulan pengalaman Malaysia pada tahun 1997 yang telah meninggalkan titik hitam apabila kedaulatan serta kestabilan ekonomi negara nyaris digugar oleh penyangak matawang menerusi kegiatan popular iaitu spekulasi dan manipulasi yang tidak beretika.

Justeru terpulanglah kepada masyarakat Melaka khasnya dan Malaysia umumnya bagi mengambil langkah drastik dan proaktif dari sekarang dengan bertindak mencari penyelesaian terhadap aset mereka dari ditelan susutnilai. Pendekatan ini perlulah diambil bagi memelihara serta mempertahankan kedaulatan Malaysia demi agama, bangsa dan negara tercinta.