Wednesday, February 28, 2007

Malaysia miliki kemudahan penapisan emas termaju di Asia

Keratan Akhbar Utusan Malaysia,22 Februari 2007

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Malaysia adalah lokasi kemudahan penapisan dan peralatan emas yang tercanggih di Asia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kazanamas Gold Refinery Sdn. Bhd., Datuk Dr. Shamshudeen Yunus.

Menurutnya, Kazanamas, yang merupakan anak syarikat IGDX Holdings Ltd, telah memulakan operasinya di Pulau Pinang pada bulan Jun tahun lalu dan berupaya menapis jongkong emas sehingga tahap ketulenan 9999.

‘‘Kami gembira dapat mengukuhkan kedudukan negara ini dalam peta antarabangsa dengan mencatatkan piawaian baru jongkong emas 995, yang akan diguna secara meluas di semua pasaran antarabangsa tidak lama lagi,’’ katanya di sini, hari ini.

Kemudahan itu akan memenuhi keperluan pasaran Hong Kong, Indonesia, Singapura, Thailand selain pasaran tempatan.

IGDX tawar peluang pelaburan GforG kepada rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Syarikat Malaysia yang bergiat dalam perdagangan emas di peringkat antarabangsa, IGDX Holdings Ltd. (IGDX), menawarkan peluang kepada rakyat Malaysia untuk melabur dalam produk emas GoldforGold (GforG).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Shamshudeen Yunus berkata, pelaburan unik itu yang merupakan urusniaga emas berdasarkan ‘berat dengan berat’, akan memberi pulangan kepada pelabur apabila pasaran meningkat.

Sebaliknya, jika pasaran turun, pelaburan mereka dijamin kerana ia disandarkan dengan nilai emas.

IGDX yang disenaraikan di Pasaran Saham Australia baru-baru ini, menawarkan peluang pelaburan itu sebagai alternatif dalam pengurusan kekayaan.

Pelaburan itu disokong oleh kegiatan syarikat yang terbabit dalam aktiviti penapisan minyak, kata Shamshudeen kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

“ Kami membuka peluang kepada rakyat Malaysia melabur dalam pasaran bebas dan adil di peringkat global serta tidak berisiko kerana ia ditanggung bersama,’’ kata beliau.

IGDX minat lombong emas

Keratan Akhbar Utusan Malaysia, 20 Februari 2007

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Syarikat Malaysia, IGDX Holdings Ltd berharap dapat melabur dalam lombong emas dan teknologi perlombongan emas, terutamanya dalam proses bioteknologi dan perlombongan mesra alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Shamshudeen Yunus berkata, syarikat itu merancang menggunakan teknologi yang dikenali sebagai G4 dari New Zealand bagi proses peleburan emas.

“Teknologi ini boleh mengasingkan emas dan galian-galian lain. Kami sedang menimbangkannya dengan serius,” katanya kepada pemberita baru-baru ini pada majlis meraikan kejayaan penyenaraian IGDX di Bursa Saham Australia (ASX) (ASX) pada 9 Feb.

Shamshudeen berkata, IGDX menetapkan sasaran untuk disenaraikan di Bursa Saham London dan Bursa Saham New York dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Sekiranya ada peluang dan sejajar dengan pemilikan strategik lombong kami, kami akan menimbangkannya (rancangan penyenaraian),” katanya.

Syarikat itu mensasar membeli dua lombong di Malaysia dan beberapa lombong di Australia, katanya.

– Bernama

Urus niaga guna emas cegah susut nilai mata wang

Najib Tun Razak menerima dinar syiling daripada Dr. Shamshudeen Yunus selepas
majlis sambutan kejayaan penyenaraian syarikat Malaysia IGDX Holdings Ltd.
di Bursa Saham Australia di Kuala Lumpur, semalam. – Bernama

Keratan Akhbar Utusan Malaysia, 14 Februari 2007

Oleh FAUZI JAAFAR
KUALA LUMPUR 14 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, platform urus niaga syariah yang membolehkan emas digunakan dalam urus niaga akan dapat mencegah susut nilai dan penyusutan nilai mata wang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penggunaan dinar emas dan dirham perak boleh menjadi pendekatan alternatif untuk merancang pengurusan kekayaan.

“Tidak seperti mata wang konvensional yang berdepan dengan inflasi berterusan, nilai emas adalah stabil dan ia merupakan kaedah berkesan untuk melindungi kekayaan daripada inflasi dan krisis kewangan atau mata wang,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan kejayaan penyenaraian syarikat Malaysia, IGDX Holdings Ltd. di Bursa Saham Australia pada 9 Februari lalu, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Pegawai Eksekutif IGDX Holdings Ltd., Datuk Dr. Shamshudeen Yunus.

IGDX Holdings Ltd. menjadi peserta penting dalam dunia perdagangan emas global apabila berjaya menyenaraikan landasan perdagangan emas antarabangsa gold for gold di Bursa Saham Australia (ASX).

Menurut Najib, sejajar dengan konsep Islam Hadhari, kemunculan dinar emas Islam pada era moden ini oleh syarikat tersebut telah mengimbas kembali legasi urus niaga Islam yang holistik.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dinar emas Islam yang mempunyai sejarah 1,500 tahun lampau adalah satu nilai komoditi yang perlu dimiliki.

Tambah beliau, kejayaan syarikat IGDX ini perlu dicontohi oleh syarikat-syarikat lain kerana berjaya disenaraikan di luar negara.

“Kita mesti mempunyai wawasan, keberanian untuk berjaya di peringkat antarabangsa.

“Ini akan meletakkan Malaysia di peta dunia, sekali gus menjadi syarikat yang boleh dibanggakan oleh negara dan rakyat,’’ katanya.

Najib seterusnya berkata, kilang syarikat tersebut di Pulau Pinang yang merupakan kilang termaju dalam industri tersebut, boleh menghasilkan ketulenan ketulan emas pada tahap 999.

Syarikat tersebut, katanya, berhasrat meningkatkan lagi kemudahan kilangnya untuk mencapai tahap ketulenan ketulan emas pada kadar 999.9.

Katanya, IGDX juga berhasrat meluaskan pelaburan di lombong-lombong emas dan teknologi perlombongan emas.

‘’Inilah kejayaan glokal yang kita mahukan. Saya percaya kumpulan syarikat IGDX boleh menjadi contoh kepada syarikat senaraian tempatan untuk pergi ke peringkat antarabangsa,’’ katanya.

Model dagangan emas Malaysia kini di peta dunia

Keratan Akhbar Utusan Malaysia,13 Februari 2007

ADELAIDE (Australia) 13 Feb. – Semangat “Malaysia Boleh" merupakan faktor utama kejayaan pedagang dan pelebur emas milik Malaysia, IGDX Holdings Ltd untuk ditempatkan dalam peta dunia.

Platform dagangan emas GforGnya yang mendagangkan emas secara fizikal dan bukan harga hadapan, merupakan sesuatu yang baru dalam pasaran kerana ia membolehkan pedagang dan pelabur dari seluruh dunia untuk berdagang dan melindungi nilai emas fizikal masing-masing.

Dengan mengusahakan langkah strategik untuk menjadi pedagang emas antarabangsa yang diiktiraf, IGDX kini menjadi syarikat tempatan yang tersenarai di sektor logam dan perlombongan Bursa Sekuriti Australia (ASX).

IGDX menunjukkan prestasi yang baik dalam kemunculan sulungnya di ASX di Adelaide pada 9 Februari, yang mencatatkan premium A$0.10 daripada harga tawaran A$0.50.

Bercakap kepada Bernama di sini, Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr. Shamshudeen Yunus berkata, beliau pada mulanya merasakan mustahil sebuah entiti asing dengan 100 peratus pegangan Malaysia disenaraikan di Papan Utama Australia.

Penyenaraian itu membabitkan tawaran awam awal empat juta saham bernilai A$2 juta yang dilanggani sepenuhnya yang menarik minat 455 pemegang saham Australia.

Shamshudeen berkata, pengiktirafan pelabur Australia itu tidak dijangkakan kerana IGDX adalah pemain baru di negara itu.

Perisian yang dimajukan itu memboleh pelanggannya menerima harga emas secara langsung di platform dagangan yang membolehkan para pelanggannya melakukan tempahan beli dan jual emas.

Platform dagangan GforG itu juga membolehkan pedagang emas mengurus niaga logam berharga yang termasuk di Tokyo Commodity Exchange, the Chicago Board of Trade, COMEX, Loco London, the Dubai Gold Exchange dan the Chinese Gold dan Silver Exchange di Hong Kong.

Perbezaan dagangan emas GforG dengan platform dagangan emas yang lain ialah ia membabitkan dagangan fizikal emas.

Operasi IGDX di Malaysia, Indonesia dan Hong Kong termasuk mempunyai kilang peleburan di Pulai Pinang dan mendagangkan logam berharga di Hong Kong.

Tahun lepas, syarikat itu mencatatkan keuntungan pra-cukai RM9 juta dan perolehan RM3.2 bilion.

Tuesday, February 27, 2007

Sasaran Baru Dinar Emas Bakal Mencecah RM 360

Pada 26 Januari 2007, harga dinar dijangka mencecah RM 350 sedinar. Pada hari ini, harga sedinar telah mencecah RM 353. Menurut sumber fnarena.com, harga emas dunia bakal mencecah USD 700 untuk satu auns. Ini bermakna harga dinar emas berharga ketika itu adalah RM 360.Untuk sebab ini, dunia telah mula sedar ketidakselesaan dengan negara Iran, apabila Iran enggan untuk memberhentikan program nuklear. Pihak Amerika sudah tidak sabar lagi dengan negara Iran, dan mereka sudah pun bermula untuk menjalankan tindakan ketenteraan.Dengan ketengangan ini, emas adalah pilihan terbaik untuk sebagai simpanan.

Friday, February 23, 2007

Harga Dinar mencecah RM 352

Harga pasaran emas dunia mencecah USD680.50 semalam di pasaran emas New York. Ini berpunca daripada kenaikan indek inflasi Amerika Syarikat baru-baru ini.

Sumber daripada : Telegraph.co.uk

Saturday, February 10, 2007

Pelancaran saham IGDX Holdings Ltd.

IGDX Holdings Ltd. adalah sebuah syarikat pelaburan yang di daftarkan di Suruhanjaya Australia pada 2006. Pengasasnya utamanya adalah Dato' Dr Shamsudeen bin Dr Mohd Yunus(Pengerusi IGD Practice Sdn. Bhd.)
Aktiviti utama IGDX Holdings Ltd adalah memgeluarkan dan mengedar emas buliion dan artikel emas(termasuk dinar emas), memproses emas, menyediakan perkhidmatan logam berharga(seperti perak dan tembaga) , menghasilkan dan membantu satu sistem perdagangan, menjalankan kajian dan membuat analisis tentang pasaran emas.
Pada 9 Februari 2007, IGDX Holdings Ltd. telah disenaraikan di Bursa Saham Australia. Tahniah diucapkan kepada IGDX Holdings Ltd. kerana berjaya meletakkan nama Malaysia di mata dunia dalam pasaran emas antarabangsa.