Wednesday, June 12, 2013

Friday, August 12, 2011

Harga emas lepasi paras AS$1,800 seaun

Sumber daripada Utusan Malaysia

NEW YORK 11 Ogos - Harga emas dunia melepasi paras AS$1,800 (RM5,400) seaun semalam buat pertama kalinya selepas pelabur menarik keluar pelaburan mereka bagi membeli kontrak komoditi itu.

Emas menjadi kegemaran pelabur bagi berhadapan dengan keadaan pasaran yang tidak menentu pada masa ini.

Sementara itu, di awal dagangan pasaran emas Asia, komoditi tersebut melonjak ke paras tertinggi AS$1,814.50 (RM5,443.50) hingga AS$1,815.50 (RM5,446.50) seaun.

Rekod itu dicatatkan selepas pasaran ekuiti Asia menjunam pada dagangan awal, dengan Tokyo kerugian sehingga dua peratus, Seoul pula jatuh sebanyak empat peratus dan Sydney didagangkan 1.5 peratus lebih rendah.

Para pelabur telah dikejutkan dengan kemungkinan penurunan taraf kredit Perancis yang berada dalam keadaan terumbang-ambing selepas penarafan kredit Amerika Syarikat (AS) diturunkan untuk pertama kalinya.

Khabar angin tentang penurunan taraf kredit Perancis itu timbul ekoran masalah yang dihadapi oleh beberapa bank di negara itu dan menguatkan lagi kebimbangan krisis hutang zon Eropah yang telah merebak.

Pelabur-pelabur bimbang bahawa Itali dan Sepanyol akan menjadi negara seterusnya yang tidak mampu membayar hutang mereka.

Sistem kewangan Eropah berada dalam keadaan buruk disebabkan oleh pihak bank yang memegang bon negara-negara yang mempunyai hutang besar seperti Greece dan Portugal.

Para pelabur dilihat berpaut kepada apa yang mereka rasakan sebagai pelindung nilai berbanding turun naik pasaran saham dan mata wang.

Komoditi itu pernah didagangkan sekitar AS$900 (RM2,700) pada musim panas 2008 sebelum krisis kewangan berlaku pada tahun itu. - Agensi

Monday, February 14, 2011

Komen Dato’ Salleh Majid. Mantan CEO BSKL Tentang Emas.




MINGGU lepas saya dijemput oleh TV3 menerangkan tentang emas sebagai pelaburan alternatif dalam program Bijak Wang. Minat dengan pelaburan emas memang sedang meningkat. Melalui program tersebut pun ada beberapa penonton yang menelefon bertanyakan beberapa perkara tentang emas.

Saya diminta menerangkan mengapa wajar melabur dengan emas. Emas sebenarnya ialah suatu komoditi yang tidak luntur ditelan zaman. Walau tertanam beribu-ribu tahun sekalipun, emas tetap berkilau.

Tidak ada negara yang mata wangnya tidak tertakluk kepada turun naik nilai emas, termasuklah negara kita semasa krisis 97/98 yang mana mata wang kita dikatakan menjadi bahan spekulator dan pernah jatuh ke paras serendah RM4.50 untuk satu dolar Amerika.

Mata wang dunia tidak lagi disokong oleh emas dan negara seperti Amerika Syarikat didapati boleh mengeluarkan seberapa banyak wang sesuka hati mereka.

Sekian lama mata wang dolar Amerika digunakan untuk segala-galanya daripada rizab negara kepada dagangan dunia.
Boleh dikatakan tidak ada urusan yang tidak lepas daripada dolar Amerika sehinggalah Kesatuan Eropah menghasilkan Euro yang menjadi pencabar kepada kedudukan dolar Amerika.

Apabila berlaku krisis ekonomi pada tahun 2008 yang berpunca di Amerika, dolar terus tertekan kedudukannya selaku mata wang utama. Tambahan pula negara seperti China yang banyak membeli Bil Perbendaharaan Amerika Syarikat merasa bimbang mengenai penurunan nilai dolar dan menyarankan penggunaan mata wang alternatif untuk perdagangan.

Pada waktu sama China juga mengajak negara-negara Asia Barat mengubah haluan menggunakan mata wang lain selain dolar Amerika. Suasana begini dicampur dengan defisit kerajaan Amerika yang berjumlah trilion dolar menyebabkan ramai orang membeli emas selaku pelindung atau insuran.

Mereka yang mengambil langkah perlindungan ini bukan saja orang individu tetapi juga negara. Selasa minggu lepas, Bank Negara India telah membeli 200 tan emas dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan ia telah melonjakkan harga emas pada hari itu. Dikhabarkan IMF akan menjual sebanyak 200 tan lagi. Kenaikan permintaan ini menyebabkan harga emas terus meningkat.

Minggu lepas sehingga semalam (Jumaat) emas naik dari AS$1091 (RM3,815) seauns kepada AS$1106 (RM3,871).
Bagaimanapun mereka yang ingin membeli emas patut melihat pembeliannya untuk disimpan selama 365 hari. Bukan untuk dijual minggu depan atau bulan depan kerana dengan mengambil sikap demikian segala turun naik harga (volatiliti) dapat diatasi.

Misalnya sejak setahun lalu, harga emas naik sebanyak 52 peratus dari AS$734.90 (RM2,572) seauns kepada AS$1116.80 (RM3,908) seauns.

Kalau emas tidak penting mengapa kerajaan India membeli 200 tan emas minggu lepas?

Kebimbangan akan kejatuhan nilai matawang dolar Amerika dan kemungkinan pemulihan mungkin akan mengambil masa lebih lama daripada dijangkakan kerana pengangguran di AS hampir mencecah 10 peratus dan masalah yang membelenggu sektor perumahan belum dapat diatasi lagi.

Kerajaan China juga menasihatkan rakyatnya menyimpan 5 peratus daripada wang simpanan mereka dalam bentuk emas dan ini bakal menaikkan lagi harga emas. Kita ingat semasa zaman ramai pelarian meninggalkan negara asal mereka seperti semasa perang Vietnam. Mereka yang lari daripada Kemboja membawa bersama emas dan apabila sampai di sini mereka menggunakan emas tersebut untuk memulakan perniagaan dan hidup baru.

Contohnya di kawasan Kota Tinggi, Johor. Ramai orang Kemboja yang memiliki perniagaan seperti barang kemas dan perniagaan kain. Emas diterima di mana-mana tidak kira di negara mana sekalipun, emas tetap emas.

Seperti yang pernah dinyatakan dahulu, emas boleh dibeli secara buku pas dan secara syiling atau keping (wafer) dari bank-bank perdagangan. Selain itu, barang kemas juga suatu pelaburan dalam “bentuk emas” walaupun ketulenan emas pada barang kemas adalah rendah daripada emas keping iaitu 91.6 peratus bagi barang kemas dan 99.99 bagi syiling dan emas keping.

Bagi Bursa Malaysia pula, mungkin Dana Dagangan Bursa Emas (Gold Exchange Traded Fund) mungkin boleh difikirkan selaku salah suatu tawaran di bursa kita. Dengan adanya ETF Emas ini dapatlah lebih ramai pelabur melabur dalam emas dengan modal yang lebih rendah. DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Tuesday, January 18, 2011

Pelaburan emas meningkat - Maybank



KUALA LUMPUR 10 Jan. - Malayan Banking Bhd. (Maybank), bank perdagangan terbesar di Malaysia, menjangkakan minat untuk melabur dalam emas di negara ini akan meningkat lagi berikutan terdapatnya aliran kenaikan dalam harga logam berkenaan di pasaran dunia.

Naib Presiden Eksekutif Kanan, Ketua Perbankan Konsumernya, Lim Hong Tat berkata: ''Harga emas berada dalam aliran menaik dan kami melihat terdapat minat yang tinggi dalam buku akaun simpanan emas (GSPA),

''Prospek pertumbuhannya akan bergantung bagaimana pelanggan melihat pergerakan harga dalam keadaan pasaran semasa.

''Bagaimanapun, kami mendapati sejak setahun lalu, sejak November 2008 hingga November 2009, bilangan akaun GSPA yang dibuka telah berkembang sebanyak 147 peratus membayangkan keyakinan pelanggan menjadikan emas sebagai satu bentuk pelaburan," kata Hong Tat dalam temu bual bertulis dengan Utusan Malaysia di sini.

Maybank telah memperkenalkan GSPA pada tahun 1997 selari dengan inisiatif Bank Negara Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat serantau bagi urus niaga emas. Bank itu, pada tahun 2001 telah dilantik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menjual syiling emas dikenali Kijang Emas, yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Difahamkan, keadaan ekonomi dunia yang tidak menggalakkan telah menyebabkan kebanyakan pelabur kini beralih daripada pasaran ekuiti kepada pelaburan emas yang dilihat sebagai pilihan lebih selamat.

Berikut adalah temu bual tersebut:

Sejauh mana tahap minat terhadap pelaburan emas setakat ini?

Kami melihat terdapat peningkatan sejak beberapa bulan yang lalu dalam pelaburan berkenaan. Para pelanggan kini semakin berpengetahuan dalam membuat pemilihan pelaburan Kami menyaksikan pertambahan dalam pembukaan akaun GSPA pada setiap bulan dengan bilangan akaun baru berkembang pada purata 12.3 peratus.

Apakah yang menyumbang kepada peningkatan itu?

Pada mulanya melabur dalam emas melalui buku simpanan, duit syiling, kepingan emas dan barang kemas menjadi sesuatu yang baru tetapi kempen besar-besaran, kesedaran orang ramai dan pengguna mulai melihat faedah melabur emas terutamanya melalui GSPA selain duit syiling.

Sebagai contohnya, GSPA menawarkan jaminan keselamatan dan kaedah selamat dalam melabur emas apabila pelanggan boleh membeli logam berkenaan berdasarkan jumlah yang diinginkan tanpa perlu menanggung risiko menyimpannya secara fizikal. Tambahan pula, emas yang dipasarkan melalui GSPA dan Kijang Emas mempunyai ketulenan sehingga 999.9 peratus.

Bagaimana tahap perkembangan GSPA sekarang?

Sehingga November 2009, jumlah akaun GSPA adalah 11,800,658 dengan nilai sehingga lebih RM122 juta.

Apakah strategi yang diambil oleh Maybank untuk meningkatkan kesedaran dalam pelaburan emas?

GSPA kini boleh dibuka di kesemua cawangan Maybank di seluruh negara manakala Kijang Emas pula ditawarkan di 30 buah cawangan terpilih, sesetengahnya di kawasan bandar selari dengan permintaan.

Kami telah melaksanakan promosi pemasaran termasuk melalui perbankan Internet di www.maybank2u.com selain maklumat boleh diperoleh daripada kesemua cawangan Maybank dan pengiklanan dalam akhbar-akhbar.

Dalam pelancaran pelan deposit jaminan modal terbaru iaitu 1Malaysia Momentum Structured Deposit, emas menjadi aset sandaran bagi mendapatkan potensi produk berkenaan.

Sejauh mana minat yang ditunjukkan terhadap Kijang Emas?

Sejak lima bulan yang lalu kami menyaksikan peningkatan dalam pembelian Kijang Emas. Dalam tempoh berkenaan, purata pertumbuhan bulanan adalah 102 peratus. Jualan pada November tahun ini meningkat lebih 500 peratus berbanding Jun 2009.

Siapakah pelabur GSPA dan Kijang Emas?

Pelanggan kami bagi produk ini terdiri daripada golongan mewah dan individu yang kaya. Kebanyakan mereka berusia lebih 41 tahun dengan kaum Cina mewakili 56 peratus daripada jumlah pelanggan.

Bagaimanakah para pelabur dimaklumkan tentang pelaburan mereka dan bilakah masa yang sesuai untuk membeli dan menjual emas?

Maklumat tentang GSPA dan Kijang Emas boleh diperoleh di cawangan-cawangan Maybank. Harga emas juga boleh diketahui dengan melayari laman web www.maybank 2u.com di mana maklumannya dikemas kini dua kali sehari .

Bagaimanapun tiada tempoh masa yang boleh dianggap sebagai ideal untuk jual beli emas. Harga emas ditentukan oleh kuasa pasaran, pelaburan ini memerlukan pelanggan mengkaji aliran harga emas dan harus bersedia menanggung risiko sekiranya harga turun dan naik. Pelanggan perlu membuat keputusan pelaburan berdasarkan strategi pelaburan mereka.

Apakah faedahnya membeli emas melalui GSPA dan Kijang Emas?

Setiap produk mempunyai kelebihannya yang tersendiri. GSPA merupakan pelaburan emas menggunakan buku akaun simpanan. Tiada pegangan emas secara fizikal dalam urus niaga ini kecuali di atas permintaan pelanggan.

Pelanggan GSPA mempunyai opsyen untuk menukar akaun pegangan dalam buku simpanan atau (paper gold) kepada memegang emas secara fizikal. Akaun GSPA menawarkan pelaburan emas dalam kadar 10 gram, 20 gram dan 50 gram.

Berbeza dengan GSPA, urus niaga Kijang Emas dibuat berdasarkan kiraan auns yang merupakan sebut harga standard. Kijang Emas merupakan produk BNM, jadi ia memberikan keyakinan kepada pelanggan tentang nilai dan ketulenannya sebagai satu pilihan pelaburan.

Apakah perbezaannya dengan pelaburan emas yang dibeli melalui kedai emas?

Emas yang dibeli daripada kedai-kedai emas adalah tertakluk kepada kos hasil kerja tangan berkemahiran tinggi. Emas yang dibeli itu lebih untuk tujuan perhiasan berbanding pelaburan.

Tebaran had belian dan jualan juga luas. Bagi mereka yang serius untuk melabur dalam emas, mereka akan melabur dalam akaun emas seperti dalam GSPA dan Kijang Emas.

Monday, November 15, 2010

Dinar emas mampu henti perang mata wang - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR Nov. 1 - Kerajaan di seluruh seharusnya menimbangkan penggunaan dinar emas bagi menghentikan perang mata wang, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, penyusutan dolar AS mewujudkan masalah bagi negara-negara memandangkan mereka perlu menurunkan nilai mata wang mereka bagi mengatasi kerugian daya saing.

"Jika setiap negara menurunkan nilai mata wangnya, akan ada perang mata wang dan sudah tentu, akan menyumbang kepada krisis,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Dunia Pertama Mengenai Riba di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, emas mempunyai nilai intrinsik dan oleh itu merupakan nilai yang lebih baik berbanding mata wang. - Bernama