Monday, August 6, 2007

Majlis Dinar Antarabangsa

Penubuhan Majlis Dinar Antarabangsa (MDA) telah dicadangkan untuk penyelarasan dan pemantauan kempen informasi dinar emas di peringkat global. Matlamat utama penubuhannya adalah bagi menyebarluaskan mekanisme dinar emas meliputi pelbagai aspek seperti penyelidikan, dana tabungan, pendidikan dan lain-lain bidang kritikal.

Keahlian MDA ini dicadangkan supaya dipilih di kalangan negara-negara OIC, para ahli akademik, para penyelidik, penggubal dasar serta pihak yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran berkenaan dinar emas. Dengan kombinasi ini diharap MDA dapat mengintergrasikan idea-idea baru untuk diterjemahkan kepada realiti dengan beberapa pendekatan terkini dan menarik.

Antara matlamat utamanya ialah mendidik masyarakat secara berterusan berkenaan keistimewaan dinar emas terutama kepada masyarakat peniaga dan penggubal dasar. Pendekatan ini dapat dilihat apabila dinar emas dijadikan agenda utama dalam polisi sesebuah negara. Usaha ini pula boleh disokong dan dilaksanakan oleh masyarakat pengguna dan peniaga yang manfaatnya akan dinikmati bersama seperti gejala penyusutanilai matawang, riba, spekulasi dan banyak lagi.

Selain dari itu, MDA turut boleh membuat kajian berkenaan pelaksanaan bayaran dinar emas dalam sistem kewangan semasa. Hasil kajian akan membolehkan MDA mengesan kelopongan yang berlaku untuk diperhalusi sebelum sistem sebenar dilaksanakan sepenuhnya. Misalannya kesesuaian, kestabilan nilai, formula, tempoh penjelasan dan lain-lain kemungkinan sewajarnya dibuat memandangkan harga dinar emas tertakluk kepada harga pasaran semasa. Dengan ini akan menarik minat serta keyakinan masyarakat terhadap aplikasi dinar emas sebagai perantaraan dagangan antarabangsa. Di samping itu, secara tidak langsung masyarakat akan dapat membuat perbandingan ketara di antara keistimewaan dinar emas dengan matawang semasa.

Dengan tujuan memantapkan lagi rangkaian dinar emas, MDA boleh mengorak langkah drastik dengan mempertingkatkan keahlian di peringkat global sebagai nadi penggerak menyebarluaskan agenda dinar emas di seluruh pelosok dunia. Kempen kesedaran perlu dibuat secara konsisten bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap dinar emas ke arah yang lebih positif serta kompetitif. Langkah ini diharap dapat merealisasikan dinar emas sebagai alat perantaraan dagangan urusniaga global. Keadaan ini turut menyuburkan keadilan sejagat terhadap penindasan riba menerusi aplikasi matawang konvensional.

Kesimpulannya ialah satu badan antarabangsa perlu diwujudkan dalam usaha memantapkan pemahaman masyarakat dunia terhadap keistimewaan dinar emas sebagai alat penjelasan urusniaga dagangan global.

Ekonomi Dinar Emas : Pelan Induk Ummah

Pelan Induk Ummah berkenaan ekonomi dinar emas telah dirangka sebagai teras kesinambungan perantaraan ekonomi global. Satu persidangan antarabangsa anjuran Marslio International telah dilangsungkan pada 24 sehingga 25 Julai 2007 di PWTC.

Matlamat utama persidangan adalah untuk mempromosikan dinar emas sebagai penyelesaian praktikal ekonomi terutamanya krisis ekonomi semasa yang berpunca dari pengaruh penggunaan matawang fiat. Persidangan ini telah dihadiri oleh tokoh pemikir Islam seperti Umar Ibrahim Vadillo, Sheikh Imran Hoessin, Tarek Dimany dan perintis dinar emas di Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak ketinggalan menyampaikan ucaptama.

Dinar Emas yang terkenal dengan nilai intrinsik dan bersifat stabil terhadap aktiviti spekulasi dan manipulasi telah disyorkan supaya dikembalikan peranannya pada masa kini. Justeru beberapa pihak telah digesa supaya mengambil langkah sewajarnya bagi tujuan tersebut sebagaimana berikut.

Bank Negara Malaysia dicadangkan supaya meneliti penggunaan Dinar Emas sebagai penjelasan dagangan pelbagai hala di kalangan negara-negara peserta meliputi sistem penyelesaian kredit. Masyarakat pula perlu disediakan alternatif cara pembayaran sama ada dalam dinar atau ringgit sebagaimana pilihan konvensional dan perbankan Islam. Kaedah ini secara tidak langsung akan memberi kesempatan kepada masyarakat bagi menilai kelebihan dinar emas berbanding wang fiat.

Dewan Perniagaan pula digesa supaya mengalakkan pengunaan dinar emas di kalangan ahli seperti menyelesaikan pembayaran berkonsepkan sistem barter yang berteraskan dinar emas dengan kaedah yang terbaik. Pelaksanaannya tidak hanya terbatas dalam negara sahaja malahan boleh diperpanjangkan ke peringkat antarabangsa seperti Timur Tengah, Asia Barat, Negeri China dan rakan dagangan yang lain. Dengan ini rangkaian dewan perniagaan dunia dapat diwujudkan dan seterusnya akan membentuk jaringan dinar emas secara global.

Majlis Agama Islam Negeri seharusnya mengutama serta mengalakkan pembayaran mas kahwin dan zakat dalam bentuk dinar emas. Memandangkan dinar emas adalah urusan ekonomi Islam maka Majlis Agama Islam Negeri sewajarnya melopori usaha ini dengan mengadakan kempen berkenaan keistimewaannya serta menerangkan bahawa pendekatan ini menjamin keadilan dan kemakmuran untuk semua lapisan termasuk golongan bukan Islam.

Sistem bersepadu Al-Rahnu atau gadaian emas perlu diperluaskan pelaksanaannya dengan mendapat sokongan serta penyertaan semua pihak termasuk kerajaan, pengubal dasar, masyarakat peniaga dan ahli akademik dalam usaha mengangkat dinar emas sebagai satu jalan penyelesaian masalah sistem kewangan dunia sedia ada. Kewujudan sistem ini perlu dikaji dari pelbagai aspek bagi memperkukuhkan pegangan emas di kalangan masyarakat dalam negara. Peningkatan pegangan emas ini akan membantu negara apabila berdepan krisis ekonomi kelak.

Di peringkat antarabangsa satu badan kerjasama perlu ditubuhkan bagi mencari formula mempopularkan dinar emas sebagai alat perantaraan terbaik dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan, dana tabungan, pendidikan, ekonomi dan seumpamanya supaya mekanisma aplikasi dinar emas dapat dimanfaatkan lebih ramai lagi peserta. Badan antarabangsa ini boleh terdiri daripada pelbagai badan seperti politik, NGO atau lain-lain pertubuhan berdaftar dengan mengaplikasikan dinar emas sebagai alat perantaraan dalam urusan masing-masing seperti yuran tahunan dan seumpamanya.

Dengan terlaksana langkah di atas, diharap aplikasi dinar emas akan mendapat tempat pelbagai lapisan masyarakat dunia dan seterusnya menjadi perantaraan penting dalam urusan perniagaan global.

Tuesday, May 15, 2007

Harga Emas Jatuh 2.6%

Harga Dinar Emas ini agak turun berbanding semalam. Mengikut analisis daripada Bloomberg.com, harga emas jatuh 2.6% pada minggu lepas dan ianya merupakan kejatuhan terbesar dalam tempoh 10 minggu. Ini memandangkan matawang dolar(USD) kukuh sepanjang masa berbanding rendah pada matawang Euro.Selalunya emas bergerak bertentang dengan dolar (USD).Dibawah adalah pasaran Harga Dinar pada masa ini.

Tarikh : 15/05/2007
Masa : 3:50 petang
Harga Belian : RM 281.0739646
Harga Jualan : RM 336.5058267

Monday, May 14, 2007

Pertanda Harga Dinar Emas Meningkat.

Harga dinar emas petang ini telah menunjukan kenaikan.Walaupun agak tidak mendadak tetapi ia telah menunjukan tanda-tanda positif kenaikan.Harga Jualan Dinar Emas ada kemungkinan akan meningkat ke RM 360 pada hujung minggu ini atau minggu hadapan. Maka, kalu sesiapa nak buat maskahwin atau hadiah ibu atau pelaburan qirad, belilah sekarang...

Tarikh : 14/05/2007
Masa : 3:00 petang
Harga Belian : RM 283.0624984
Harga Jualan : RM 338.8176766

Tarikh : 11/05/2007
Masa : 8.23 pagi
Harga Belian : RM 280.3310932
Harga Jualan : RM 335.6627528

Friday, May 11, 2007

Matawang Dolar Kukuh , Harga Emas Merundum

Harga emas jatuh beberapa hari lepas disebabkan pelabur-pelabur melabur dalam dagangan pertukaran matawang (FOREX) ke atas dolar (USD).Matawang dolar semakin kukuh disebabkan disokong penuh oleh 3 buah bank iaitu

• Federal Reserve;
• Bank of England dan;
• European Central Bank.

Harga Emas kemungkinan akan naik semula selepas pelabur mengambil keuntungan daripada kenaikan matawang dolar.Pelabur akan mula membeli semula emas untuk simpanan yang lebih kukuh.

Sumber daripada :Reauter.uk

Thursday, May 10, 2007

Laman Dinar Emas Di Indonesia

Hari saya terjumpa satu laman web daripada Indonesia yang banyak maklumat tentang Dinar Emas yang terkini. Dari segi zakat,buku-buku keluaran daripada Indonesia dan artikel-artikel.
Dibawah adalah laman webnya

http://wakalasauqi.blogspot.com/

Tuesday, May 8, 2007

Analisis Harga IGD Pada Awal Mei 2007

Pada awal minggu Mei 2007, harga jualan IGD mencecah tinggi sebanyak RM 359.80 dan terendah RM 342.26. Bagi harga belian IGD tertinggi mencecah sebanyak RM 300.79 dan terendah RM 283.13.

Menurut analisis saya sendiri, harga dinar emas akan turun buat sementara waktu sehinggalah pada 9 Mei . Selepas itu, harga jualan dinar emas akan melonjak tinggi sehingga mencecah RM 360 pada diantara 12 Mei atau 19 Mei 2007.

Wednesday, April 18, 2007

Harga Dinar Dalam Usaha Ke Arah RM 355

Kebanyakan penganalis emas masih mengunjurkan harga emas dunia mencecah USD700 per ounce. Menurut, John Person, Presiden bagi National Futures Advisory Service, harga emas dunia berlegar-legar pada harga USD685.

Bagi Larry Young, Pedagang dari Infinity Brokerage Services, melihat bukan sahaja akan mencecah USD700 tetapi akan terus meningkat hingga mencecah USD800 sebelum hujung tahun 2007.

Ralph Preston, Penganalisis Pasaran dari Heritage West Financial,mengatakan mempunyai keraguan harga emas dunia akan mencecah USD700 pada minggu ini. Beliau menjangkakan harga emas dunia akan mencecah USD700 dalam 4 minggu lagi.

Harga dinar emas akan juga berubah sekiranya pasaran harga emas dunia berubah.Sekira harga emas dunia berubah ke USD700, harga dinar bakal mencecah RM355 dan sekiranya harga emas dunia bernilai USD800, ini bermakna harga dinar emas berada pada harga RM400.
Sumber daripada : gulf-times.com

Tuesday, March 20, 2007

Forum Kegunaan Dinar Emas di Melaka

Sempena Maulidur Rasul bagi tahun 1428H/2007M, Pusat Zakat Melaka bakal menganjurkan Expo Maulidur Rasul dari 28 Mac 2007(Rabu) hingga 1 April 2007 (Ahad).

Dalam pada masa yang sama, Singgahsana Emas juga menyelitkan program Forum Kegunaan Dinar Emas di Melaka. Dalam forum tersebut,ahli panelnya adalah Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Rashid Redza(Mufti Negeri Melaka) dan Encik Yusof bin Haji Jantan(Pengarah Eksekutif Singgahsana Emas Sdn Bhd merangkap Pengurus Besar Yayasan Melaka). Datuk Mufti akan memperjelaskan dari segi hukum hakam kegunaan dinar emas.Manakala Encik Yusof akan memperincikan dari segi kegunaan dinar emas dalam bentuk simpanan, mas kahwin, hadiah dan penyertaan qirad-IHI.

Kepada yang berminat dijemput hadir untuk meramaikan majlis tersebut.

Wednesday, February 28, 2007

Malaysia miliki kemudahan penapisan emas termaju di Asia

Keratan Akhbar Utusan Malaysia,22 Februari 2007

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Malaysia adalah lokasi kemudahan penapisan dan peralatan emas yang tercanggih di Asia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kazanamas Gold Refinery Sdn. Bhd., Datuk Dr. Shamshudeen Yunus.

Menurutnya, Kazanamas, yang merupakan anak syarikat IGDX Holdings Ltd, telah memulakan operasinya di Pulau Pinang pada bulan Jun tahun lalu dan berupaya menapis jongkong emas sehingga tahap ketulenan 9999.

‘‘Kami gembira dapat mengukuhkan kedudukan negara ini dalam peta antarabangsa dengan mencatatkan piawaian baru jongkong emas 995, yang akan diguna secara meluas di semua pasaran antarabangsa tidak lama lagi,’’ katanya di sini, hari ini.

Kemudahan itu akan memenuhi keperluan pasaran Hong Kong, Indonesia, Singapura, Thailand selain pasaran tempatan.

IGDX tawar peluang pelaburan GforG kepada rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Syarikat Malaysia yang bergiat dalam perdagangan emas di peringkat antarabangsa, IGDX Holdings Ltd. (IGDX), menawarkan peluang kepada rakyat Malaysia untuk melabur dalam produk emas GoldforGold (GforG).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Shamshudeen Yunus berkata, pelaburan unik itu yang merupakan urusniaga emas berdasarkan ‘berat dengan berat’, akan memberi pulangan kepada pelabur apabila pasaran meningkat.

Sebaliknya, jika pasaran turun, pelaburan mereka dijamin kerana ia disandarkan dengan nilai emas.

IGDX yang disenaraikan di Pasaran Saham Australia baru-baru ini, menawarkan peluang pelaburan itu sebagai alternatif dalam pengurusan kekayaan.

Pelaburan itu disokong oleh kegiatan syarikat yang terbabit dalam aktiviti penapisan minyak, kata Shamshudeen kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

“ Kami membuka peluang kepada rakyat Malaysia melabur dalam pasaran bebas dan adil di peringkat global serta tidak berisiko kerana ia ditanggung bersama,’’ kata beliau.

IGDX minat lombong emas

Keratan Akhbar Utusan Malaysia, 20 Februari 2007

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Syarikat Malaysia, IGDX Holdings Ltd berharap dapat melabur dalam lombong emas dan teknologi perlombongan emas, terutamanya dalam proses bioteknologi dan perlombongan mesra alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Shamshudeen Yunus berkata, syarikat itu merancang menggunakan teknologi yang dikenali sebagai G4 dari New Zealand bagi proses peleburan emas.

“Teknologi ini boleh mengasingkan emas dan galian-galian lain. Kami sedang menimbangkannya dengan serius,” katanya kepada pemberita baru-baru ini pada majlis meraikan kejayaan penyenaraian IGDX di Bursa Saham Australia (ASX) (ASX) pada 9 Feb.

Shamshudeen berkata, IGDX menetapkan sasaran untuk disenaraikan di Bursa Saham London dan Bursa Saham New York dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Sekiranya ada peluang dan sejajar dengan pemilikan strategik lombong kami, kami akan menimbangkannya (rancangan penyenaraian),” katanya.

Syarikat itu mensasar membeli dua lombong di Malaysia dan beberapa lombong di Australia, katanya.

– Bernama

Urus niaga guna emas cegah susut nilai mata wang

Najib Tun Razak menerima dinar syiling daripada Dr. Shamshudeen Yunus selepas
majlis sambutan kejayaan penyenaraian syarikat Malaysia IGDX Holdings Ltd.
di Bursa Saham Australia di Kuala Lumpur, semalam. – Bernama

Keratan Akhbar Utusan Malaysia, 14 Februari 2007

Oleh FAUZI JAAFAR
KUALA LUMPUR 14 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, platform urus niaga syariah yang membolehkan emas digunakan dalam urus niaga akan dapat mencegah susut nilai dan penyusutan nilai mata wang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penggunaan dinar emas dan dirham perak boleh menjadi pendekatan alternatif untuk merancang pengurusan kekayaan.

“Tidak seperti mata wang konvensional yang berdepan dengan inflasi berterusan, nilai emas adalah stabil dan ia merupakan kaedah berkesan untuk melindungi kekayaan daripada inflasi dan krisis kewangan atau mata wang,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan kejayaan penyenaraian syarikat Malaysia, IGDX Holdings Ltd. di Bursa Saham Australia pada 9 Februari lalu, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Pegawai Eksekutif IGDX Holdings Ltd., Datuk Dr. Shamshudeen Yunus.

IGDX Holdings Ltd. menjadi peserta penting dalam dunia perdagangan emas global apabila berjaya menyenaraikan landasan perdagangan emas antarabangsa gold for gold di Bursa Saham Australia (ASX).

Menurut Najib, sejajar dengan konsep Islam Hadhari, kemunculan dinar emas Islam pada era moden ini oleh syarikat tersebut telah mengimbas kembali legasi urus niaga Islam yang holistik.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dinar emas Islam yang mempunyai sejarah 1,500 tahun lampau adalah satu nilai komoditi yang perlu dimiliki.

Tambah beliau, kejayaan syarikat IGDX ini perlu dicontohi oleh syarikat-syarikat lain kerana berjaya disenaraikan di luar negara.

“Kita mesti mempunyai wawasan, keberanian untuk berjaya di peringkat antarabangsa.

“Ini akan meletakkan Malaysia di peta dunia, sekali gus menjadi syarikat yang boleh dibanggakan oleh negara dan rakyat,’’ katanya.

Najib seterusnya berkata, kilang syarikat tersebut di Pulau Pinang yang merupakan kilang termaju dalam industri tersebut, boleh menghasilkan ketulenan ketulan emas pada tahap 999.

Syarikat tersebut, katanya, berhasrat meningkatkan lagi kemudahan kilangnya untuk mencapai tahap ketulenan ketulan emas pada kadar 999.9.

Katanya, IGDX juga berhasrat meluaskan pelaburan di lombong-lombong emas dan teknologi perlombongan emas.

‘’Inilah kejayaan glokal yang kita mahukan. Saya percaya kumpulan syarikat IGDX boleh menjadi contoh kepada syarikat senaraian tempatan untuk pergi ke peringkat antarabangsa,’’ katanya.

Model dagangan emas Malaysia kini di peta dunia

Keratan Akhbar Utusan Malaysia,13 Februari 2007

ADELAIDE (Australia) 13 Feb. – Semangat “Malaysia Boleh" merupakan faktor utama kejayaan pedagang dan pelebur emas milik Malaysia, IGDX Holdings Ltd untuk ditempatkan dalam peta dunia.

Platform dagangan emas GforGnya yang mendagangkan emas secara fizikal dan bukan harga hadapan, merupakan sesuatu yang baru dalam pasaran kerana ia membolehkan pedagang dan pelabur dari seluruh dunia untuk berdagang dan melindungi nilai emas fizikal masing-masing.

Dengan mengusahakan langkah strategik untuk menjadi pedagang emas antarabangsa yang diiktiraf, IGDX kini menjadi syarikat tempatan yang tersenarai di sektor logam dan perlombongan Bursa Sekuriti Australia (ASX).

IGDX menunjukkan prestasi yang baik dalam kemunculan sulungnya di ASX di Adelaide pada 9 Februari, yang mencatatkan premium A$0.10 daripada harga tawaran A$0.50.

Bercakap kepada Bernama di sini, Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr. Shamshudeen Yunus berkata, beliau pada mulanya merasakan mustahil sebuah entiti asing dengan 100 peratus pegangan Malaysia disenaraikan di Papan Utama Australia.

Penyenaraian itu membabitkan tawaran awam awal empat juta saham bernilai A$2 juta yang dilanggani sepenuhnya yang menarik minat 455 pemegang saham Australia.

Shamshudeen berkata, pengiktirafan pelabur Australia itu tidak dijangkakan kerana IGDX adalah pemain baru di negara itu.

Perisian yang dimajukan itu memboleh pelanggannya menerima harga emas secara langsung di platform dagangan yang membolehkan para pelanggannya melakukan tempahan beli dan jual emas.

Platform dagangan GforG itu juga membolehkan pedagang emas mengurus niaga logam berharga yang termasuk di Tokyo Commodity Exchange, the Chicago Board of Trade, COMEX, Loco London, the Dubai Gold Exchange dan the Chinese Gold dan Silver Exchange di Hong Kong.

Perbezaan dagangan emas GforG dengan platform dagangan emas yang lain ialah ia membabitkan dagangan fizikal emas.

Operasi IGDX di Malaysia, Indonesia dan Hong Kong termasuk mempunyai kilang peleburan di Pulai Pinang dan mendagangkan logam berharga di Hong Kong.

Tahun lepas, syarikat itu mencatatkan keuntungan pra-cukai RM9 juta dan perolehan RM3.2 bilion.

Tuesday, February 27, 2007

Sasaran Baru Dinar Emas Bakal Mencecah RM 360

Pada 26 Januari 2007, harga dinar dijangka mencecah RM 350 sedinar. Pada hari ini, harga sedinar telah mencecah RM 353. Menurut sumber fnarena.com, harga emas dunia bakal mencecah USD 700 untuk satu auns. Ini bermakna harga dinar emas berharga ketika itu adalah RM 360.Untuk sebab ini, dunia telah mula sedar ketidakselesaan dengan negara Iran, apabila Iran enggan untuk memberhentikan program nuklear. Pihak Amerika sudah tidak sabar lagi dengan negara Iran, dan mereka sudah pun bermula untuk menjalankan tindakan ketenteraan.Dengan ketengangan ini, emas adalah pilihan terbaik untuk sebagai simpanan.

Friday, February 23, 2007

Harga Dinar mencecah RM 352

Harga pasaran emas dunia mencecah USD680.50 semalam di pasaran emas New York. Ini berpunca daripada kenaikan indek inflasi Amerika Syarikat baru-baru ini.

Sumber daripada : Telegraph.co.uk

Saturday, February 10, 2007

Pelancaran saham IGDX Holdings Ltd.

IGDX Holdings Ltd. adalah sebuah syarikat pelaburan yang di daftarkan di Suruhanjaya Australia pada 2006. Pengasasnya utamanya adalah Dato' Dr Shamsudeen bin Dr Mohd Yunus(Pengerusi IGD Practice Sdn. Bhd.)
Aktiviti utama IGDX Holdings Ltd adalah memgeluarkan dan mengedar emas buliion dan artikel emas(termasuk dinar emas), memproses emas, menyediakan perkhidmatan logam berharga(seperti perak dan tembaga) , menghasilkan dan membantu satu sistem perdagangan, menjalankan kajian dan membuat analisis tentang pasaran emas.
Pada 9 Februari 2007, IGDX Holdings Ltd. telah disenaraikan di Bursa Saham Australia. Tahniah diucapkan kepada IGDX Holdings Ltd. kerana berjaya meletakkan nama Malaysia di mata dunia dalam pasaran emas antarabangsa.

Friday, January 26, 2007

Harga dinar emas akan mencecah RM350

Menurut sumber daripada www.business-standart.com harga emas mungkin berada pada harga $670 per auns mengikut harga emas dunia. Ia juga diakui oleh Ketua Eksekutif GFMS, Paul Walker ketika menghadiri seminar di Toronto. Ini bermakna harga dinar emas diramal pada harga RM350 dalam awal tahun ini.

Sekarang ini telah banyak tersiar di internet tentang pembelian emas-emas terpakai terutama di luar negara. Ia digunakan sebagai aset simpanan dan sebagai aset penjualan kelak.Walaupun emas itu telah digunakan namun nilainya masih tetap dan tidak berubah. Kini pencarian lombong emas masih diteruskan ia bertujuan untuk menambah lagi aset di bank dunia. Berkaitan dengan pencarian lombong emas, sebenarnya ternyata Amerika Syarikat menggunakan taktik isu politik sebagai tajuk utama peperangan tetapi sebenarnya ia bertujuan untuk mendapatkan sumber bumi mereka. Amerika Syarikat berbuat demikian sebenarnya bertujuan untuk memulihkan nilai mata wang mereka yang menjadi mata wang dunia sekarang ini. Tapi jika kita fikirkan sebenarnya mata wang mereka juga boleh di manipulasi tetapi tidak pada emas. Wang yang mereka gunakan masih berada dalam bentuk sehelai kertas. Jika difikirkan mengapa wang kita sahaja yang menjadi mata wang dunia? Bukankah wang kita juga sebenarnya sehelai kertas. Mata wang Amerika Syarikat sebenarnya semakin lemah, mereka masih berusaha untuk mengembalikan nilai wang mereka dengan menindas negara yang mempunyai banyak hasil dengan pengaruh yang mereka ada.

Disini penting untuk kita nyatakan bahawa emas sahaja yang tidak boleh di manipulasikan. Dinar emas yang diperkenalkan amat sesuai pada waktu peredaran masa kini. Penyimpanan dinar emas juga bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku sesuatu pada ekonomi negara.
Ditulis oleh : Irnie

Tuesday, January 16, 2007

Monday, January 8, 2007

Dinar Emas Semakin Menyerlah

Dewasa ini keistimewaan dinar emas semakin mendapat tempat dan sambutan hangat di kalangan masyarakat Pantai Timur Malaysia. Emas Dinar Kelantan telah dilancarkan secara rasmi oleh Kerajaan Negeri Kelantan pada 20 September 2006. Ia boleh diperolehi menerusi 10 rangkaian pajak gadai Islam Ar-Rahn edaran Permodalan Kelantan Berhad.

Secara umumnya, fungsi asas Emas Dinar Kelantan adalah sinonim dengan syiling Dinar Emas yang diedarkan oleh Singgahsana Emas Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Yayasan Melaka. Peranan yang dimaksudkan ialah sebagai mas kahwin, simpanan, perantaraan zakat, cenderahati mahupun lain-lain tujuan penghargaan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, emas memiliki nilai intrinsik yang stabil bagi mengekang aktiviti spekulasi dan manipulasi matawang. Pengunaannya dapat melindungi nilai wang serta ekonomi semasa sesebuah negara.

Perbandingan dari aspek timbangan serta denominasi turut tidak menunjukkan perbezaan yang begitu ketara. Timbangan dan denominasi Dinar Emas ialah 2.125 gram (setengah dinar), 4.250 gram (satu dinar) dan 8.500 gram (dua dinar) dengan kandungan emas 91.6%. Manakala Emas Dinar Kelantan pula terdiri daripada 1.06 gram (suku dinar), 2.12 gram (setengah dinar), 4.250 gram (satu dinar) dengan ketulenan emas 91.7%. Namun demikian, penentuan nilai denominasi bagi kedua-dua edaran masih sama iaitu tertakluk kepada harga emas pasaran semasa.

Thursday, January 4, 2007

Satu Dinar Perantaraan Mas Kahwin


Tanggal 28 Julai 2006 bersamaan 3 Rejab 1427 H merupakan detik bersejarah bagi kakitangan Yayasan Melaka, Noraini Binti Yaakop 24, dan pasangannya Faiza Rizal Bin Mocktar 30, yang telah selamat diijabkabulkan di kediaman pengantin perempuan di Km 8, Jalan Pengkalan Jajar, 75450 Alai, Melaka. Majlis perkahwinan yang dilangsungkan pada 29 Julai 2006 merupakan saat bermakna pasangan ini kerana diraikan sebagai Raja Sehari yang sekaligus bermulanya pelayaran sebuah alam rumahtangga.

Majlis Pernikahan kedua-dua mempelai ini sememangnya sesuatu yang unik dan menarik dalam majlis pernikahan yang julung kali diadaptasikan oleh pasangan mempelai di negeri Melaka. Keunikan yang dimaksudkan ialah apabila Faiza Rizal Bin Mocktar menyempurnakan mahar atau mas kahwinnya dengan sekeping syiling dinar emas seberat 4.25 gram (22 karat) yang diperbuat daripada emas 91.66% bernilai RM 300.99 (tertakluk harga pasaran semasa). Perantaraan dinar emas sebagai mas kahwin sememangnya sesuai kerana ukiran kalimah syahadah serta cetakan ayat suci Al-Quran secara simboliknya melambangkan ketinggian nilai kehidupan manusia yang berasaskan Islam. Manakala ilustrasi gambar masjid pula melambangkan seruan Islam menggalakkan umatnya melaksanakan perkahwinan demi kesinambungan zuriat bagi memakmurkan muka bumi ini selaras dengan sunnah Nabi Muhamad S.A.W.

Kelazimannya wang ringgit, senaskah Al-Quran, cincin, gelang tangan merupakan di antara pelbagai bentuk perantaraan pilihan berdasarkan kemampuan serta persetujuan kedua-dua pihak mempelai. Kini syiling dinar emas telah mula mendapat sambutan menggalakkan sebagai mahar atau mas kahwin yang terkini dalam sesuatu majlis pernikahan sejak akhir-akhir ini. Barangkali sudah tiba masanya masyarakat menerimapakai dinar emas sebagai mas kahwin memandangkan ia mempunyai nilai sentimental dan intrinsik yang kukuh. Bagi mereka yang mempunyai pertanyaan berkenaan dinar emas ini bolehlah datang sendiri ke Wakala Yayasan Melaka, G-09 Plaza Usahawan, 75300 Jalan Hang Tuah, Melaka atau hubungi 06-2846572/73 untuk maklumat lanjut.

Wednesday, January 3, 2007

Dinar Emas : Instrumen Baru Mas Kahwin & Zakat.

Mahar atau Mas kahwin merupakan satu pemberian wajib dari seorang lelaki kepada bakal isterinya sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh hukum syarak. Mas kahwin ini boleh dibayar dalam pelbagai kaedah dan apa jua bentuk mengikut kesesuaian dan peredaran zaman. Lazimnya mahar ini disempurnakan dengan wang ringgit, senaskah Al-Quran, cincin, gelang tangan dan pelbagai bentuk lagi mengikut kemampuan serta persetujuan kedua-dua pihak mempelai. Pada hari ini syiling dinar emas telah mula diperkenal serta diketengahkan sebagai alat perantaraan mahar atau mas kahwin yang terkini dalam sesuatu majlis pernikahan.

Pernahkah anda terfikir kesesuaian syiling emas 9.166% seberat 42.5-gram dan 22-karat ini sebagai item baru penunaian mas kahwin mahupun hantaran perkahwinan. Barangkali jika dilihat sekali imbas cadangan ini agak ganjil tetapi diyakini dinar emas akan mendapat tempat serta sambutan di kalangan masyarakat. Rasional penggunaan dinar emas sebagai mas atau hantaran perkahwinan adalah bersandarkan emas yang boleh diurusniagakan dalam pelaburan Qirad minimum 12 dinar yang mampu memberi pulangan setinggi 2% sebulan, 24% setahun serta boleh diperbaharui setiap 6 bulan dari semasa ke semasa. Pelaburan Qirad ini adalah sesuatu yang menarik kerana ia berdasarkan emas yang mana harganya adalah stabil dan secara komprehensifnya meningkat dari semasa ke semasa tanpa terikat dengan perkembangan isu-isu semasa global seperti kegiatan manipulasi serta spekulasi matawang antarabangsa.

Selain dari itu, pelaburan Qirad ini boleh diumpamakan sebagai jaminan perlindungan aset untuk masa depan terutamanya perbelanjaan pendidikan anak-anak kelak. Berbekalkan peningkatan harga semasa setiap dinar yang dimiliki dan penokokan pulangan setiap bulan mampu meningkatkan lagi perolehan keuntungan pelaburan. Kaedah ini seandainya diteruskan dapat membantu pembiayaan masa depan individu dalam menghadapi peristiwa di luar jangkaan atau mencapai apa jua hasrat yang dicita-citakan. Keadaan ini adalah sebaliknya dalam pelaburan konvensional yang lazimnya berbekalkan wang ringgit yang mudah dispekulasikan di samping pulangan pelaburan yang tidak setanding dengan pelaburan Qirad. Pelaburan ini boleh dibuat di Singgahsana Emas Sdn Bhd, G-09, Plaza Usahawan, Jalan Hang Tuah, 75300 Melaka atau untuk maklumat lanjut di talian 06-2846572/73 pada waktu pejabat.

Dinar Emas juga boleh diaplikasikan sebagai alat pembayaran bagi menunaikan kewajipan zakat. Islam menggalakkan umatnya menunaikan perintah zakat disempurnakan dalam bentuk emas memandangkan kestabilan nilai intrinsiknya yang sekaligus membantu golongan 7 asnaf dihimpit oleh pengucupan kuasabeli atau “purchasing power” pengguna. Cadangan ini boleh dilaksanakan menerusi mekanisme perlantikan rangkaian pasar mini yang boleh menerimapakai dinar emas sebagai alat pembayaran untuk 7 golongan ini mendapatkan bekalan keperluan asas bulanan mereka. Pusat Zakat Melaka (PZM) akan melantik rangkaian pasar mini dan golongan 7 asnaf akan diberi agihan zakat misalnya secara puratanya 2 dinar lebih kurang bernilai RM500 sebulan. Penerima zakat ini akan membeli barangan keperluan mengikut jumlah 2 dinar tadi. Kaedah ini difikirkan dan diyakini sedikit-sebanyak dapat membantu mereka dalam apa jua keadaan sama ada dalam situasi ekonomi yang cemerlang mahupun sebaliknya. Dengan lain perkataan, dinar emas mampu bertindak sebagai penyimpan nilai sekaligus membolehkan penerima zakat menikmati bantuan tersebut dengan kadar yang maksimum. Maka dengan ini diharapkan langkah ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang dalam kesempitan hidup daripada terus dihimpit oleh tekanan kuasabeli yang semakin menurun.

Di samping itu, penggunaan dinar emas boleh diperpanjangkan untuk pelbagai tujuan sampingan seperti hadiah atau cenderahati ulangtahun hari kelahiran atau perkahwinan sebagai tanda penghargaan dalam usaha mempertingkatkan nilai ketinggian kehidupan manusia. Secara keseluruhannya apabila dinar emas diaplikasikan secara meluas, keadaan ini akan membantu meningkatkan kadar pemilikan dinar emas sebagai aset di kalangan masyarakat. Barangkali penggunaan dinar emas ini boleh dipelbagaikan mengikut kreativiti berdasarkan motif serta kecenderungan masing-masing. Dalam skop yang lebih luas, negara akan mempunyai stok simpanan emas yang stabil yang dapat membantu Malaysia mempertahankan kewibawaannya jika krisis kewangan dan ekonomi global kembali melanda. Langkah ini adalah tindakan susulan pengalaman Malaysia pada tahun 1997 yang telah meninggalkan titik hitam apabila kedaulatan serta kestabilan ekonomi negara nyaris digugar oleh penyangak matawang menerusi kegiatan popular iaitu spekulasi dan manipulasi yang tidak beretika.

Justeru terpulanglah kepada masyarakat Melaka khasnya dan Malaysia umumnya bagi mengambil langkah drastik dan proaktif dari sekarang dengan bertindak mencari penyelesaian terhadap aset mereka dari ditelan susutnilai. Pendekatan ini perlulah diambil bagi memelihara serta mempertahankan kedaulatan Malaysia demi agama, bangsa dan negara tercinta.