Monday, August 6, 2007

Majlis Dinar Antarabangsa

Penubuhan Majlis Dinar Antarabangsa (MDA) telah dicadangkan untuk penyelarasan dan pemantauan kempen informasi dinar emas di peringkat global. Matlamat utama penubuhannya adalah bagi menyebarluaskan mekanisme dinar emas meliputi pelbagai aspek seperti penyelidikan, dana tabungan, pendidikan dan lain-lain bidang kritikal.

Keahlian MDA ini dicadangkan supaya dipilih di kalangan negara-negara OIC, para ahli akademik, para penyelidik, penggubal dasar serta pihak yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran berkenaan dinar emas. Dengan kombinasi ini diharap MDA dapat mengintergrasikan idea-idea baru untuk diterjemahkan kepada realiti dengan beberapa pendekatan terkini dan menarik.

Antara matlamat utamanya ialah mendidik masyarakat secara berterusan berkenaan keistimewaan dinar emas terutama kepada masyarakat peniaga dan penggubal dasar. Pendekatan ini dapat dilihat apabila dinar emas dijadikan agenda utama dalam polisi sesebuah negara. Usaha ini pula boleh disokong dan dilaksanakan oleh masyarakat pengguna dan peniaga yang manfaatnya akan dinikmati bersama seperti gejala penyusutanilai matawang, riba, spekulasi dan banyak lagi.

Selain dari itu, MDA turut boleh membuat kajian berkenaan pelaksanaan bayaran dinar emas dalam sistem kewangan semasa. Hasil kajian akan membolehkan MDA mengesan kelopongan yang berlaku untuk diperhalusi sebelum sistem sebenar dilaksanakan sepenuhnya. Misalannya kesesuaian, kestabilan nilai, formula, tempoh penjelasan dan lain-lain kemungkinan sewajarnya dibuat memandangkan harga dinar emas tertakluk kepada harga pasaran semasa. Dengan ini akan menarik minat serta keyakinan masyarakat terhadap aplikasi dinar emas sebagai perantaraan dagangan antarabangsa. Di samping itu, secara tidak langsung masyarakat akan dapat membuat perbandingan ketara di antara keistimewaan dinar emas dengan matawang semasa.

Dengan tujuan memantapkan lagi rangkaian dinar emas, MDA boleh mengorak langkah drastik dengan mempertingkatkan keahlian di peringkat global sebagai nadi penggerak menyebarluaskan agenda dinar emas di seluruh pelosok dunia. Kempen kesedaran perlu dibuat secara konsisten bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap dinar emas ke arah yang lebih positif serta kompetitif. Langkah ini diharap dapat merealisasikan dinar emas sebagai alat perantaraan dagangan urusniaga global. Keadaan ini turut menyuburkan keadilan sejagat terhadap penindasan riba menerusi aplikasi matawang konvensional.

Kesimpulannya ialah satu badan antarabangsa perlu diwujudkan dalam usaha memantapkan pemahaman masyarakat dunia terhadap keistimewaan dinar emas sebagai alat penjelasan urusniaga dagangan global.

1 comment:

kotokkale said...

emas bila nak naik ni????? menyesal pulak tak beli dinar hari tu...