Monday, January 8, 2007

Dinar Emas Semakin Menyerlah

Dewasa ini keistimewaan dinar emas semakin mendapat tempat dan sambutan hangat di kalangan masyarakat Pantai Timur Malaysia. Emas Dinar Kelantan telah dilancarkan secara rasmi oleh Kerajaan Negeri Kelantan pada 20 September 2006. Ia boleh diperolehi menerusi 10 rangkaian pajak gadai Islam Ar-Rahn edaran Permodalan Kelantan Berhad.

Secara umumnya, fungsi asas Emas Dinar Kelantan adalah sinonim dengan syiling Dinar Emas yang diedarkan oleh Singgahsana Emas Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Yayasan Melaka. Peranan yang dimaksudkan ialah sebagai mas kahwin, simpanan, perantaraan zakat, cenderahati mahupun lain-lain tujuan penghargaan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, emas memiliki nilai intrinsik yang stabil bagi mengekang aktiviti spekulasi dan manipulasi matawang. Pengunaannya dapat melindungi nilai wang serta ekonomi semasa sesebuah negara.

Perbandingan dari aspek timbangan serta denominasi turut tidak menunjukkan perbezaan yang begitu ketara. Timbangan dan denominasi Dinar Emas ialah 2.125 gram (setengah dinar), 4.250 gram (satu dinar) dan 8.500 gram (dua dinar) dengan kandungan emas 91.6%. Manakala Emas Dinar Kelantan pula terdiri daripada 1.06 gram (suku dinar), 2.12 gram (setengah dinar), 4.250 gram (satu dinar) dengan ketulenan emas 91.7%. Namun demikian, penentuan nilai denominasi bagi kedua-dua edaran masih sama iaitu tertakluk kepada harga emas pasaran semasa.

2 comments:

abe soff said...

perbanyakan lg ttg dinar emas kelantan...azlee batu pahat

abe soff said...

perbanyakan lg tntang dinar emas..wad jb