Thursday, January 4, 2007

Satu Dinar Perantaraan Mas Kahwin


Tanggal 28 Julai 2006 bersamaan 3 Rejab 1427 H merupakan detik bersejarah bagi kakitangan Yayasan Melaka, Noraini Binti Yaakop 24, dan pasangannya Faiza Rizal Bin Mocktar 30, yang telah selamat diijabkabulkan di kediaman pengantin perempuan di Km 8, Jalan Pengkalan Jajar, 75450 Alai, Melaka. Majlis perkahwinan yang dilangsungkan pada 29 Julai 2006 merupakan saat bermakna pasangan ini kerana diraikan sebagai Raja Sehari yang sekaligus bermulanya pelayaran sebuah alam rumahtangga.

Majlis Pernikahan kedua-dua mempelai ini sememangnya sesuatu yang unik dan menarik dalam majlis pernikahan yang julung kali diadaptasikan oleh pasangan mempelai di negeri Melaka. Keunikan yang dimaksudkan ialah apabila Faiza Rizal Bin Mocktar menyempurnakan mahar atau mas kahwinnya dengan sekeping syiling dinar emas seberat 4.25 gram (22 karat) yang diperbuat daripada emas 91.66% bernilai RM 300.99 (tertakluk harga pasaran semasa). Perantaraan dinar emas sebagai mas kahwin sememangnya sesuai kerana ukiran kalimah syahadah serta cetakan ayat suci Al-Quran secara simboliknya melambangkan ketinggian nilai kehidupan manusia yang berasaskan Islam. Manakala ilustrasi gambar masjid pula melambangkan seruan Islam menggalakkan umatnya melaksanakan perkahwinan demi kesinambungan zuriat bagi memakmurkan muka bumi ini selaras dengan sunnah Nabi Muhamad S.A.W.

Kelazimannya wang ringgit, senaskah Al-Quran, cincin, gelang tangan merupakan di antara pelbagai bentuk perantaraan pilihan berdasarkan kemampuan serta persetujuan kedua-dua pihak mempelai. Kini syiling dinar emas telah mula mendapat sambutan menggalakkan sebagai mahar atau mas kahwin yang terkini dalam sesuatu majlis pernikahan sejak akhir-akhir ini. Barangkali sudah tiba masanya masyarakat menerimapakai dinar emas sebagai mas kahwin memandangkan ia mempunyai nilai sentimental dan intrinsik yang kukuh. Bagi mereka yang mempunyai pertanyaan berkenaan dinar emas ini bolehlah datang sendiri ke Wakala Yayasan Melaka, G-09 Plaza Usahawan, 75300 Jalan Hang Tuah, Melaka atau hubungi 06-2846572/73 untuk maklumat lanjut.

No comments: